Rabu, 18 Disember 2013

Denyutan

Bangkit dari lena, bangunlah semula
Zaman kerajaan tahu segalanya telah berlalu, mandat adalah dari rakyat harus diingat slogan yang dicanang
'Rakyat didahulukan'
'Janji Ditepati'
Hentikan sandiwara yang berlaku.
Selami 'Denyut Nadi Rakyat'!

Denyutan 

Umpama timun hendaknya
Melanggar kami terluka
Dilanggar kami cedera
Tapi itulah nasib kami yang hina

Tanpa elaun seperti menteri
Makan bayar sendiri
Kereta pandu sendiri
Minyak isi sendiri
Jalan sesak kami hadap setiap hari

Mudah pula tuan berkata
Jangan makan bila ayam naik harga
Jangan minum manis bila naik harga gula
Jangan guna jalan jika tol naik berganda
Pindah ke negara lain jika tak suka Malaysia 

Kami umpama kain basahan
Tuan perah habis habisan
Akhirnya kami kekeringan
Merana kami tuan kesenangan

Duit sejemput kami diperas hingga rabak
Gaji tuan sedikit pun tak boleh ditolak
Diusul kami tuan amuk sampai koyak
Kami senyum lihat tuan makin menggalak

Tak mengapalah tuan
Kami terima segala ketentuan
Cuma ingat pesan Tuhan
Setiap perkara ada balasan
Nasib tuan belum ketahuan

Tuan jangan lupa
Kami manusia biasa
Sabar kami ada tahapnya
Luka kecil boleh menjadi nanah juga
Jangan sampai menjadi barah pula
Cukuplah tuan menyeksa
Cukuplah tuan buat kami merana

Kuasa tuan dari kami
Naiknya tuan dari kami
Jatuhnya tuan juga dari kami

c.c: Menteri-menteri Negeri Pasir Berdengung.                                        P/s - luahan hati rakyat biasa

Hanturaya copy dan paste puisi dari seorang rakan

Selasa, 17 Disember 2013

SAH, TIADA KENAIKAN TOL PLUS

 
Pihak pengurusan PLUS Malaysia Berhad mengesahkan bahawa syarikat konsesi lebuhraya terbesar itu tidak akan bercadang menaikkan kadar tol di semua lebuhraya kendalian syarikat itu pada tahun hadapan (2014), seperti yang dihebohkan baru-baru ini.

Menurut Pengarah Urusan PLUS, Dato' Noorizah Abd Hamid, syarikat konsesi itu memahami tekanan kos hidup rakyat dan tidak berhasrat menaikkan kadar tol di semua lebuhraya PLUS dalam tempoh terdekat.

"Kenaikan konsesi PLUS tidak akan berlaku kerana belum tiba masa ia diteliti. Jadi kenaikan yang diwar-warkan mungkin melibatkan konsesi lebuhraya lain, tetapi bukan PLUS," ujar beliau ketika diajukan soalan berkaitan kenaikan kadar tol.

Beliau turut menambah bahawa PLUS sedang mengkaji mekanisme untuk menurunkan kadar tol semasa kepada kadar tol baru yang lebih rendah.

Penstrukturan semula tol semasa PLUS pada masa hadapan bakal memberi kelebihan kepada pengguna apabila mereka akan menikmati penjimatan antara 10 - 50 peratus berbanding kadar tol semasa.

Ketika ini, PLUS mengendalikan lima lebuhraya meliputi Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Lingkaran Tengah (ELITE), Linkedua (Lintasan Kedua Malaysia Singapura), Lebuhraya Butterworth-Kulim (KLBK) dan Jambatan Pulau Pinang.